Bola baling merupakan gabungan daripada berberapa kemahiran
asas bola jaring, bola keranjang dan bola sepak, kini mulai mendapat
pengiktirafan sebagai salah satu permainan bertaraf antarabangsa yang diminati.
Bola baling sudah menjadi permainan yang setanding dengan permainan-permainan
lain dari segi popularitinya.
Permainan bola baling dipercayai bermula pada masa perang
dunia pertama yang dikenali sebagai Torball
Pada tahun 1917 bilangan pemainnya ditingkatkan daripada tujuh orang
kepada sebelas orang. Bola baling
dimainkan di padang bola sepak dengan menggunakan bola sepak. Orang yang bertanggungjawab kepada
penciptaan pemainan ini ialah seorang guru sukan Jerman bernama Heizer. Bola ini kemudiannya dikenali sebagai
Handball atau bola baling.
Pada tahun 1936, permainan bola baling ini telah
dipertandingkan dalam Sukan Olimpik yang dilangsungkan di Berlin. Pada tahun 1938 disebabkan masalah cuaca dan
salji yang meliputi padang permainan hampir sepanjang tahun di negara-negara
Eropah Timur, mereka telah mengubahsuai permainan ini untuk dimainkan di dalam
dewan. Bilangan dikurangkan menjadi 7 (tujuh) orang sepasukan dan gelanggang
permainan juga turut dikecilkan.
Pertandingan pertama menggunakan format ini ialah diKejohanan Dunia
Pertama di Jerman pada tahun 1938.
Semasa perang dunia kedua, permainan bola baling terpaksa
dihentikan sementara kegiatannya.
Bagaimanapun pada tahun 1946, Persekutuan Bola baling yang lama (1926)
telah digantikan dengan sebuah pertubuhan baru yang dinamakan Kesatuan Bola
Baling Antarabangsa (International Handball Federation – IHF). Kesatuan ini terus menerajui sukan ini hingga
sekarang. Beberapa peraturan dan
undang-undangnya telah diubahsuai dan juga digantikan dengan yang baru.
Kejohanan
Bola Baling Tertutup Sedunia pertama kali diadakan pada tahun 1954 dengan
kemenangan bagi pasukan Sweden. Pada
tahun 1972 bola baling sekali lagi
muncul di Sukan Olimpik sebelum ini bola
baling diketepikan walaupun telah muncul kali pertama pada tahun 1936. Sejak penerimaannya kembali pada tahun 1972
bola baling terus menjadi acara yang wajib dipertandingkan dalam perjumpaan sukan yang terbesar hingga
sekarang.
Persekutuan Bola Baling Asia (Asian Handball Federation –
AHF) telah ditubuhkan pada 1972 dan beribu pejabat di Kuwait . Antara negara-negara yang menganggotai ialah
Bangladesh, Bahrain, China, Hong Kong, India, Iran, Iraq, Jordan, Jepun,
Kazakhstan, Kyrgyzstan, Korea, Kuwait, Libya, Macau, Malaysia, Nepal, Oman,
Pakistan, Filipina, Korea Utara, Qatar, Palestin, Syria. Thailand,
Turkmenistan, Taiwan. Emiriyiah Arab Bersatu, Uzbekistan dan Yemen.
Bola baling mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1976, oleh Encik Lim Hock Han (Pengarah Sukan
Universiti Malaya). Beliau memperkenalkan permainan ini kepada satu kumpulan guru dan pelajar di
beberapa buah sekolah di negeri Selangor.
Selepas itu sebuah jawatankuasa kerja, khusus untuk permainan bola
baling telah dibentuk untuk tujuan menjadi badan menyelaras bagi mempopularkan
pemainan ini khusus dikalangan pelajar sekolah, maktab dan universiti. Kementerian Pendidikan serta Majlis Sukan
Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) mengadakan pelbagai kursus dalam aspek
pengenalan permainan, pengadilan dan kejurulatihan bola baling kepada guru-guru. Tujuan nya ialah mengembangkan permainan ini
ke sekolah – sekolah diseluruh negara.
Pada tahun 1981 Persatuan Bola Baling Selangor / Wilayah
Persekutuan telah ditubuhkan. Pada tahun
1984 Persekutuan Bola Baling Malaysia telah ditubuhkan dengan Encik Cheah Hai
Su (Pegawai dari Unit Pendidikan Jasmani dan Sukan, Kementerian Pendidikan)
telah dilantik sebagai Presiden manakala Encik Kan Tong Leong sebagai
Setiausaha. Pada tahun 1986 Persekutuan
Bola Baling Malaysia telah menjadi ahli gabungan Persekutuan Bola Baling Asia
(AHF).
Dalam usaha untuk memasukkan permainan bola baling ke dalam
kelendar MSSM, pelbagai kursus pengenalan, kepengadilan dan kejurulatihan telah
dianjurkan oleh unit pendidikan jasmani dan sukan, Kementerian Pendidikan
Malaysia antaranya ialah :-
i) Kursus
Pengenalan/kepengadilan dan kejurulatihan telah diadakan di Institut Aminuddin Baki pada tahun 1985
ii) Kursus
Jurulatih Bola Baling MSSM di TLDM, Lumut – 1985
iii) Kursus
Pengadilan Bola Baling di SM. Sains Selangor – 1986
dan lain –lain kursus berikutnya.
Pada tahun 1987 MSSM telah menganjurkan Pesta Bola Baling
kali pertama bagi peringkat umur bawah 15 tahun (Lelaki / Perempuan) yang
dikelolakan oleh MSS. Selangor di Kelang.
Pada tahun 1988 Pesta Bola Baling MSSM bagi peringkat umur bawah 18 dan
12 tahun (Lelaki / Perempuan) dikelolakan oleh MSS. Negeri Sembilan di
Seremban. Seterusnya bola baling diterima sebagai salah satu permainan yang
dipertandingkan di peringkat kebangsaan dibawah kelolaan MSS. Malaysia sehingga
sekarang.
Usaha juga telah dilakukan oleh Persekutuan Bola Baling
Malaysia dengan menganjurkan Kejohanan diperingkat kebangsaan dan antarabangsa
termasuklah Kejohanan Bola Baling antara kelab-kelab negara komanwel telah pun
diadakan di Kuantan, Pahang pada tahun 1994.
Negara-negara yang mengambil bahagian terdiri daripada Kenya, England, Nigeria, New Zealand, Bangladesh, India dan Malaysia.
Bagi meningkatkan pengurusan dan pentadbiran persatuan,
Setiausaha Persekutuan Bola Baling Malaysia Encik Aw Sai Hong telah dijemput
untuk menghadiri seminar di London pada bulan Julai 1993. Pada tahun yang sama seramai 36 peserta telah
mengikuti kursus Kejurulatihan Bola Baling yang dikelolakan oleh Majlis Olimpik
Antarabangsa. Pada tahun 1994 satu mesyuarat Eksekutif –CHA telah
di Kuala Lumpur. Selain daripada
itu Persekutuan Bola Baling Malaysia
telah menghantar Encik Lam Fei Eng, seorang jurulatih tempatan untuk mengikuti
kursus kejurulatihan antarabangsa di Universiti Leipzig. Dari aspek teknikal pula, persatuan juga mempunyai
pegawai yang terlibat secara langsung sebagai pengerusi pertandingan yang di
pengerusi oleh Encik Tan Woon Por di Kejohanan Bola Baling antara kelab – kelab
Komanwel pada tahun 1994. Pada tahun
yang sama Encik M. Nadarajan telah dijemput oleh Jawatankuasa Sukan Asia di
Hiroshima sebagai pemerhati dalam Kejohanan bola baling Sukan Asia.
No comments:
Post a Comment