Thursday 24 January 2013



UNDANG-UNDANG PERMAINAN BOLA BALING





1. Gelanggang permainan

     Gelanggang permainan berukuran 20 meter kali 40 meter. Garisan kawasan gol atau garisan 6 meter adalah merupakan garisan paling penting. Semua pemain kecuali penjaga gol dibenarkan berdiri di dalam kawasan gol. Tiang gol adalah 2 meter tinggi dan 3 meter lebar. Pemain boleh mendarat dirat di dalam kawasan gol selepas menjaringkan gol..

          
2. Bola

     Bola saiz 2 digunakan untuk kumpulan wanita dan kumpulan lelaki bawah umur 12 tahun. Bola saiz 3 digunakan untuk kumpulan lelaki 15 tahun ke atas. Bola saiz 1 digunakan untuk permainan bola baling mini bagi kumpulan umur 8 tahun ke bawah.


3. Bilangan pemain

     Satu pasukan mengandungi 12 orang pemain. Semasa permainan, 6 orang pemain gelanggang dan seorang penjaga gol akan berada di dalam gelanggang. Pengganti-pengganti boleh menggantikan pemain di dalam gelanggang pada bila-bila masa dengan syarat pemain di dalam gelanggang keluar terlebih dahulu sebelum pemain pengganti masuk.


4  Pakaian

     Nombor pemain adalah dari No.1 hingga No.20. Penjaga gol mesti memakai warna baju yang berbeza dengan pemain gelanggang pasukan sendiri atau pemain gelanggang pasukan lawan. Pemain dilarang memakai barang kemas, jam dan yang seumpamanya bagi mengelakkan kecederaan.


5.     Pengadil

     Seorang pengadil gelanggang dan seorang pengadil gol akan bertugas dan keputusan mereka adalah muktamad. Pengadil-pengadil ini akan dibantu oleh seorang penjaga masa dan seorang pencatat.

6.    Tempoh Permainan

     Bagi kumpulan lelaki 18 tahun ke atas, 30 minit setiap separuh masa dengan 10 minit rehat. Bagi semua kumpulan umur 18 tahun ke bawah (lelaki dan perempuan), 20 minit setiap separuh masa dengan 10 minit rehat. Masa permainan hanya akan di hentikan atas perintah pengadil. Pasukan akan bertukar gelanggang bagi setiap separuh masa.


7. Permainan Pasif

     Adalah menjadi satu kesalahan jika pasukan memainkan bola dalam keadaan pasif. ‘PASIF’ bermaksud bermain tanpa mempunyai niat untuk menyerang atau menjaringkan gol terutamanya setelah pasukan tersebut mendahului pasukan lawan.


8.    Memulakan Permainan

     Ia dimulakan oleh pasukan yang memilih untuk memulakan permainan setelah menang dalam mementing syiling oleh pengadil. Kedua-dua pasukan mestilah berada di dalam kawasan sendiri. Pasukan lawan harus berada pada jarak 3 meter dari pemain yang memegang bola dan pemain ini mestilah memijak garisan tengah. Permainan bermula dengan tiupan wisel pengadil gelanggang.


9.    Jaringan Gol

Gol dikira apabila keseluruhan bola melepasi garisan gol di antara dua tiang gol. Gol-gol boleh dijaringkan dari mana-mana jenis balingan kecuali balingan referi.


10.  Memainkan Bola

a.    Pemain dibenarkan :

        Mengambil 3 langkah dengan bola.
        Memegang bola maksimum 3 saat.
        Menggelecek.
        Menjunam untuk mendapatkan bola.

b.    Pemain tidak dibenarkan :
        Membahayakan pihak lawan dengan atau tanpa bola.
        Merampas, memukul, meragut atau menumbuk bola dari kawalan pihak lawan.
        Menggunakan bahagian anggota di bawah lutut.


11.. Menghadang Pihak Lawan

Pemain boleh menggunakan badan untuk menghadang pihak lawan samada dengan atau tanpa bola. Tetapi pemain tidak dibenarkan menggunakan tangan atau kaki untuk merampas, memukul, meragut atau menumbuk bola dari kawalan pihak lawan. Pemain juga tidak dibenarkan merempuh pemain pertahanan semasa membuat jaringan.


12. . Balingan ke Dalam

Balingan ini diberikan apabila bola terkeluar dari garisan tepi samada di tanah atau di udara yang disentuh oleh pihak lawan. Pemain yang mengambil balingan ini mestilah diambil dari tempat di mana bola itu keluar dengan sekurang-kurangnya sebelah kaki memijak garisan tepi. Pemain lawan mestilah berada pada jarak 3 meter dari pembaling.


13. Balingan ke dalam di sudut

Balingan ini diberikan apabila bola disentuh oleh pemain pertahanan dan keluar melintasi garisan gol. Pemain yang mengambil balingan ini mestilah berada di sudut garisan gol dan garisan tepi dengan sekurang-kurangnya sebelah kaki memijak garisan tepi. Pemain lawan mestilah berada pada jarak 3 meter dari pembaling.


14.   Balingan Pengadil

Ia diberikan apabila :

a.     Kesalahan berlaku serentak oleh kedua-dua pasukan.
b.  Bola direbut oleh kedua-dua pemain.


15.  Balingan Percuma

Balingan ini diberikan bagi sebarang kesalahan yang ringan. Balingan diambil dari tempat di mana kawasan itu berlaku kecuali

-     Bila kesalahan berlaku di dalam kawasan 9 meter – balingan dibuat di luar garisan 9 meter. Semua pemain penyerang berada di luar garisan 9 meter sebelum bola dimainkan.
-     Bila berlaku kesalahan penggantian – Balingan dilakukan di kawasan penggantian atau di tempat bola dimatikan oleh pengadil semasa menyerang.(mana-mana yang memberi kelebihan kepada pihak lawan).
-     Kesalahan yang dilakukan di dalam kawasan gol - balingan dibuat di luar garisan 9 meter.
-    Pemain pertahanan menghantar bola kepada penjaga gol sendiri dan bola tersebut mati di dalam kawasan gol tanpa disentuh oleh penjaga gol.


Balingan ini diambil dengan sekurang-kurangnya sebelah kaki memijak tanah atau gelanggang semasa membuat balingan. Pemain lawan berada pada jarak 3 meter sebelum balingan dilakukan.


16.  . Balingan 7 meter (penalti)

Balingan ini diberikan apabila

-   Peluang keemasan menjaring gol dimusnahkan oleh pemain pertahanan.
-     Penjaga gol membawa masuk bola ke dalam kawasan 6 meter.
-     Pemain pertahanan menghantar bola kepada penjaga gol sendiri dan bola tersebut disentuh oleh penjaga gol.

Semua pemain mesti berada di luar garisan 9 meter. Pemain yang mengambil balingan 7 meter ini tidak dibenarkan memijak garisan balingan semasa balingan dilakukan. Penjaga gol boleh bergerak keluar hingga 4 meter dari garisan golnya.


17.   Balingan Gol

Balingan ini diberikan apabila

-    bola disentuh oleh penjaga gol dan keluar melintasi garisan gol.
-     bola diballing keluar melalui garisan gol oleh pemain penyerang.


18. Hukuman Susulan

Hukuman bagi kesalahan yang lebih serius selain daripada memberikan balingan percuma kepada pihak lawan boleh disusuli dengan hukuiman yang lebih berat. Antara hukuman yang boleh diberikan :

-     Amaran (Kad Kuning)
-     2 minit penggantungan
-     Penyingkiran
-     Pembatalan

No comments:

Post a Comment